Emosi yang dialami oleh remaja merupakan bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas mereka terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati 1993: 73). Remaja merupakan individu yang mudah dipengaruhi oleh emosi samada dalam tingkah laku mahupun pemikiran. Emosi remaja jika dibandingkan dengan emosi kanak-kanak, amat jauh bezanya kerana golongan remaja mempunyai pemikiran yang matang daripada kanak-kanak.
Emosi remaja boleh dibahagikan kepada dua, iaitu positif dan juga negatif. Emosi remaja yang positif adalah seperti gembira, suka, cinta, dan sebagainya. Emosi positif contohnya gembira biasanya timbul dalam diri remaja apabila mereka mendapat sesuatu yang diinginkan seperti mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Biasanya semua manusia akan berasa gembira apabila mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka. Seperti saya sendiri juga pernah mengalami situasi atau emosi gembira apabila mendapati keputusan ujian saya lulus dengan cemerlang dan saya gembira kerana dapat memasuki institusi pengajian tinggi yang akan dapat menjamin masa depan saya nanti. Selain itu juga, emosi ini juga boleh dipengaruhi oleh orang sekililing contohnya, sekiranya orang disekeliling dalam keadaan gembira secara tidak langsung akan turut mempengaruhi emosi seseorang remaja itu berubah menjadi emosi yang gembira.
Selain emosi gembira, remaja turut mempunyai ciri-ciri emosi suka, cinta dan sayang di mana seseorang remaja biasanya akan timbul dikalangan remaja bukan sahaja kepada ibubapa malahan juga kepada rakan-rakan, disamping itu juga pada usia remajalah, seseorang itu akan mula belajar untuk jatuh cinta kepada seseorang yang berlainan jantina. Emosi remaja yang suka akan seseorang pada usia mereka ini secara langsung dan tidak langsung akan melahirkan perasaan cinta dan sayang. Apabila kedua-dua pihak suka sama suka maka timbullah rasa cinta di hati mereka. Remaja memang amat kuat perasaan cinta mereka dan setelah mereka mula mencintai antara satu sama lain, rasa sayang itu akan berkembang dan di sini kita dapat lihat bahawa keegoan golongan remaja amat tinggi pada peringkat ini.
Manakala bagi emosi yang negatif pula adalah seperti tertekanan, sedih, kecewa, marah, cemburu dan lain-lain. Kasmini Kassim (1992: 26), Pakar Psikiatri Kanak-Kanak di Malaysia berpendapat bahawa, gangguan emosi yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka. Perubahan ketika zaman remaja, menyebabkan jangkaan dan aspirasi masyarakat terhadap golongan ini semakin tinggi. Keadaan ini menyebabkan remaja merasa lebih tertekan emosinya apabila mereka cuba memenuhi aspirasi diri mereka, aspirasi ibu bapa dan aspirasi masyarakat. Jika remaja gagal mencapai aspirasi-aspirasi ini, remaja akan mengalami kekecewaan.
Emosi seperti tertekan biasanya timbul apabila seseorang remaja itu berhadapan dengan tekanan seperti gagal dalam peperiksaan, menghadapi kekecewaan dalam percintaan, dan kehilangan orang yang tersayang seperti kematian ahli keluarga. Sekiranya seseorang remaja itu gagal menangani emosi tersebut, remaja tersebut akan terdorong untuk melakukan sesuatu yang negatif seperti membunuh diri dan melakukan ssesuatu yang kurang baik untuk melepaskan tekanan tersebut contohnya merokok dan menagih dadah. Oleh yang demikian bimbingan dan sokongan daripada keluarga terutamanya ibubapa amatlah diperlukan ketika seseorang remaja itu menghadapi kemurungan, kekecewaan mahu pun kekecewaan.
Situasinya berbeza apabila ibu bapa tidak mempunyai masa yang banyak untuk berinteraksi dengan anak-anak, menyediakan masakan, bermain, mendidik dan berbual-bual dengan anak-anak. Keadaan begini menyebabkan anak-anak rasa terpinggir, kecewa dan tidak dipedulikan. Sekiranya ia berlarutan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan tekanan emosi kepada anak-anak remaja (Parameshvara 1979:3). Malah konflik di peringkat umur remaja pula seringnya berlaku antara remaja dengan ibu bapa. Konflik ini timbul mengenai apa yang hendak mereka lakukan pada masa hadapan, eksploitasi pencapaian akademik yang berbeza antara remaja dan ibu bapa serta harapan yang terlalu tinggi supaya anak remaja berjaya. Keadaan perbezaan aspirasi, pandangan dan kehendak menimbulkan konflik. Menurut Habibah Elias (1997: 144), remaja lebih cenderung untuk bertindak, berfikir dan berpakaian seperti rakan sebaya, ibu bapa pula tidak bersetuju dengan kehendak mereka, maka di sini timbul konflik. Konflik yang berterusan ini boleh menyebabkan emosi remaja merasa tertekan malah mereka akan gelisah jika apa yang diiginkan oleh ibu bapa mereka tidak dicapai. Kajian Donna Mates dan Kenneth R. Allison (1992: 461), mendapati antara faktor akademik yang menyebabkan tekanan emosi remaja ialah tahap pencapaian akademik, persaingan untuk memasuki universiti, menyelesaikan tugasan atau tugasan yang terlalu banyak, guru yang terlalu tegas, jangkaan dan harapan guru yang terlalu tinggi terhadap pelajar dan sikap guru yang prejudis serta tidak meraikan remaja sebagai seorang dewasa.
Golongan remaja juga biasanya mumpunyai emosi negative di mana mereka ini mudah tersinggung atau marah. Remaja mudah berasa tersinggung apabila rakan sebaya, guru-guru, ibubapa mahupun masyarakat di sekelilingnya membuat kritikan yang negetif ke atas perbuatan yang dia lakukan. Kadang kala tersinggung apabila rakan-rakan senayanya mengumpat dia dari belakang, dan diketahuinya secara langsung. Malahan emosi marah yang dihadapi oleh remaja juga amat tinggi sekali. Remaja kalau tersinggung sekaligus emosi mereka akan bertukar kepada marah. Golongan remaja mudah marah apabila diejek oleh rakan-rakan sebaya, kadang kala emosi sebegini juga berlaku di rumah apabila apa yang dilakukan olehnya difikirkan tidak baik oleh ibu bapa, dan ibu bapa menegurnya, maka dia akan menjawab kata-kata ibubapa dengan nada marah.
Konklusinya, emosi remaja sebenarnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Emosi remaja yang kerap berubah merupakan sesuatu yang normal dihadapi pada peringkat usia remaja. Hal ini kerana pada usia tersebut, seseoang itu mencari identity dirinya yang sebenar. Namun demikian, seseorang remaja itu haruslah pandai menangani emosi mereka da tidak terbawa-bawa emosi mereka sampaikan mereka berniat melakukan sesuatu yang tidak bermanfaat. Oleh itu remaja haruslah pandai dalam mengawal emosi mereka dalam pergaulan seharian mereka.
Friday, September 19, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment